Wednesday, August 19, 2009

Sistem Kapitalisme Barat Gagal?

08 Januari, 2009 00:21 AM

KUALA LUMPUR, 8 Jan (Bernama) -- Sistem kapitalisme Anglo-Saxon yang diamalkan selama ini oleh Barat telah gagal dan membawa kehancuran kepada ekonomi dunia kerana ia berasaskan ketamakan, kata Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Beliau berkata sistem itu yang
mengalakkan spekulasi, membawa kepada pewujudan pelbagai jenis dana serta produk yang begitu kompleks dan tidak masuk akal yang membolehkan begitu banyak pinjaman dibuat.

"Sekiranya sistem perbankan Islam diwujudkan lebih awal lagi kemungkinan besar kehancuran ini tidak akan berlaku kerana ia tidak akan membawa kepada pinjaman berlipat ganda dan berasaskan aset," katanya dalam temu bual rancangan Dialog@1 di TV1, malam Rabu.

Beliau berkata kehancuran sistem kapitalisme Anglo-Saxon sebenarnya bermula sejak tahun 80-an yang telah
memberi kebebasan keterlaluan kepada pihak swasta di mana kerajaan tidak mempunyai peranan langsung dalam ekonomi.

Menurutnya, sistem kapitalisme ini telah menjadi sistem utama di Amerika Syarikat, United Kingdom dan negara-negara maju lain yang turut terikut-ikut dengan sistem tersebut.

"Sistem ini sangat percaya kepada sektor swasta dan kerajaan tidak perlu memainkan peranan untuk mengawal sistem swasta itu dengan harapan kononnya ia akan menjanakan ekonomi dengan sendiri.

"Kita lihat begitu banyak spekulasi yang telah wujud dalam sistem sejak tahun 1997/98 dimana harga komoditi telah melambung tinggi, sehingga harga minyak mencatat rekod sebanyak AS$140 setong beberapa bulan yang lalu berbanding AS$80 sebelum itu.

"Ini adalah kerana spekulasi yang berasaskan ketamakan yang tidak berketepian," katanya.

Akhirnya, katanya, keyakinan terhadap ekonomi terjejas sehingga bank-bank terkemuka bukan sahaja tidak memberi pinjaman kepada pelanggan, tetapi juga kepada bank-bank terkemuka yang lain.

"Ini mengakibatkan satu kerapuhan dalam sistem kewangan kredit AS," kata beliau.

Malaysia, sebagai negara yang mengekspot kepada negara-negara besar ini juga akan merasa tempias akibat masalah di negara-negara maju.

"Dengan ini, saya anggap 2009 sebagai satu tahun yang sungguh mencabar untuk kita semua," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: