Saturday, October 2, 2010

Langkah Kerajaan Memotong Subsidi

27 Mei, 2010 21:56 PM

Potongan Subsidi Perlu Untuk Jimatkan RM103 Bilion Dalam Masa 5 Tahun Untuk Kurangkan Defisit Dan Hutang

KUALA LUMPUR, 27 Mei (Bernama) -- Rakyat Malaysia harus bersedia menghadapi pengurangan subsidi bagi membantu menjimatkan sebanyak RM103 bilion wang kerajaan dalam masa lima tahun untuk mengurangkan defisit dan hutang negara, kata Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Beliau berkata kerajaan harus memberi tumpuan kepada perkara-perkara yang lebih besar seperti minyak, tenaga elektrik dan tol untuk mencapai penjimatan itu tetapi ia akan terus memberi subsidi kepada mereka yang miskin dan tidak bernasib baik.

"Masa untuk perasionalan subsidi telah tiba. Jika tidak, kita akan ada satu bom masa dalam genggaman kita," kata Idris pada hari terbuka rancangan perasionalan subsidi yang dicadangkan oleh Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) Jabatan Perdana Menteri.

Idris, yang merupakan CEO Pemandu berkata Malaysia adalah salah satu negara di dunia yang mempunyai beban subsidi paling tinggi dan subsidi tersebut harus dikurangkan sedikit demi sedikit.

"Kita tidak mahu menjadi seperti Greece. Defisit kita meningkat kepada tahap tertinggi iaitu RM47 bilion tahun lepas," katanya, sambil menambah bahawa jika ia berterusan, negara boleh menjadi muflis menjelang 2019 dengan hutang yang mencecah RM1.158 trilion.

Beliau berkata hutang Malaysia kini adalah pada RM362 bilion sementara defisit adalah RM47 bilion tahun lepas.

Jumlah subsidi adalah RM74 bilion dengan RM42.4 bilion untuk keperluan sosial, RM23.5 bilion untuk minyak, RM4.8 bilion untuk prasarana dan RM3.4 bilion untuk makanan, yang jika dijumlahkan, adalah sebanyak RM12,900 untuk setiap isirumah.

Jika dibandingkan, harga-harga gula, minyak masak dan tepung adalah yang paling rendah di rantau ini sementara Malaysia menggunakan lebih banyak minyak per kapita daripada banyak negara termasuk Singapura, Indonesia, Thailand, China dan India.

Keseluruhannya, 97 peratus subsidi dikeluarkan kepada rakyat tanpa mengira pendapatan dan ini telah mengakibatkan 71 peratus subsidi minyak diberikan kepada mereka yang berpendapatan sederhana dan tinggi.

Idris juga bercakap tentang penyalahgunaan yang melihat kira-kira 30 peratus subsidi minyak masak dan gas petroleum cecair digunakan untuk tujuan komersil dan bukannya isirumah.

Malaysia, katanya mungkin akan menjadi pengimport bersih minyak menjelang tahun depan berdasarkan kadar penggunaan sekarang.

Beliau berkata cadangan potongan subsidi bagi barangan terkawal seperti gula, tepung dan minyak masak akan dijalankan secara berperingkat untuk tidak membebankan orang ramai.

Subsidi ke atas pendidikan, kesihatan serta pertanian dan perikanan, tulang belakang rakyat luar bandar yang miskin, akan diteruskan tetapi pembaziran dan penyalahgunaan harus dikurangkan, tegas beliau.

Pemandu turut mencadangkan pelonggaran langkah-langkah dalam cadangan pengurangan subsidinya seperti rebat tunai untuk pemandu motokar seiring dengan kenaikan harga bahan bakar, diskaun untuk pengguna tol dan rebat tunai untuk pemegang kad MyKad dan MyKid menerusi pejabat pos berikutan kos tinggi tepung, gula dan minyak masak.

"Kami sedang menyemak kembali kemungkinan memperkenalkan mekanisme harga secara apungan, langkah-langkah pengurangan dan bimbingan perlu dilaksanakan bagi menampan sebarang impak," kata Idris.

"Kabinet akan turut diberi taklimat mengenai maklum balas orang ramai yang diterima hari ini berhubung penurunan itu agar mereka boleh membuat keputusan muktamad," kata beliau kepada pemberita pada majlis Hari Terbuka Makmal Rasionalisasi Subsidi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari Khamis.

Idris juga berkata yang kerajaan akan melakukan yang terbaik untuk merunding semula kontrak pengeluar kuasa bebas (IPP) dan pemegang konsesi tol, dua sektor yang hangat diperdebatkan semasa perbincangan panel.

Bekas presiden Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia, Tan Sri Yong Poh Kon, yang merupakan salah seorang ahli panel, mencadangkan kerajaan mengambil sekumpulan pakar perundangan terkemuka untuk meneliti kontrak dan turut menyarankan kepada kerajaan agar mengenepikan cukai jalan dan bukannya rebat tunai untuk kenaikan bahan bakar.

Panel yang turut membabitkan pengarah urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar pada umumnya bersetuju yang subsidi seharusnya dihapuskan secara berperingkat dalam tempoh tiga tahun tetapi menyokong pengurangan serta-merta dalam subsidi gula.

Idris berkata tinjauan daripada 191,592 menunjukkan 61 peratus bersetuju dengan rasionalisasi subsidi dan 66 peratus mahu dikurangkan antara tiga hingga lima tahun.

-- BERNAMA

No comments: