Wednesday, August 19, 2009

Rizab antarabangsa

07 Januari, 2009 18:29 PM

Rizab Antarabangsa Bank Negara Berjumlah RM316.8 Bilion

KUALA LUMPUR, 7 Jan (Bernama) -- Rizab antarabangsa Bank Negara Malaysia berjumlah RM316.8 bilion (AS$91.4 bilion) setakat 31 Disember 2008.

Tahap rizab ini mengambil kira pelarasan suku tahun kerugian penilaian semula pertukaran mata wang asing, berikutan pengukuhan ringgit berbanding beberapa mata wang utama dalam suku berkenaan, kata Bank Negara dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut bank pusat itu, kedudukan rizab mencukupi bagi membiayai 7.4 bulan import tertangguh dan merupakan 3.3 kali hutang jangka pendek luar negara.

Bagi tahun ini pada keseluruhannya, rizab antarabangsa itu menyederhana sebanyak RM18.9 bilion, kata Bank Negara.

Dalam tempoh enam bulan pertama 2008, rizab meningkat sebanyak RM75.2 bilion kepada RM410.9 bilion setakat akhir Jun, disebabkan terutamanya oleh penghantaran pulang pendapatan eksport yang lebih tinggi serta pengaliran masuk modal portfolio jangka pendek dan pelaburan langsung asing yang lebih besar.

Bagaimanapun, rizab susut sebanyak RM94 bilion dan tempoh enam bulan kedua tahun berkenaan, disebabkan terutamanya oleh pengaliran keluar modal portfolio jangka pendek ekoran proses pengurangan pelaburan oleh pelabur asing berikutan krisis kewangan global, kata bank pusat itu.

Namun demikian, kata Bank Negara, pengaliran keluar modal jangka pendek, yang memuncak pada Oktober, memperlihatkan tanda-tanda semakin reda.

Dalam tahun lepas, kerugian penilaian semula pertukaran asing terkumpul berjumlah RM5.8 bilion, mencerminkan pengukuhan ringgit berbanding mata wang utama, khususnya dalam suku pertama dan keempat 2008, katanya.

Rizab antarabangsa Malaysia, yang boleh digunakan dan tidak terbeban, dijangka kekal pada tahap tinggi yang selesa pada 2009, kata Bank Negara.

"Tahap rizab ini akan disokong oleh lebihan perdagangan yang berterusan, memandangkan kepelbagaian pasaran eksport dan produk Malaysia serta pengaliran masuk pelaburan langsung asing," jelasnya.

-- BERNAMA

No comments: