Wednesday, August 19, 2009

Harga Ayam Cecah RM8

Oleh Norliza Wasilan dan Che Wan Badrul Alias

Dipetik daripada Berita Online (16/6/08)

Shahrir mahu import dari Thailand, Indonesia ditambah bagi stabil pasaran


PASAR SATOK selalunya sibuk sebaik sahaja ia mula beroperasi, tapi lain pula samalam ia cukup lenggang.Di Pasar Satok harga barang yang di kawal seperti cili, ayam, bawang dan lain tidak dikawal dan dipantau oleh pihak tertentu, cili merah satu kilo mencecah RM 13.00 di mana minggu lepas harganya hanya RM 6.00. Ayam pula satu kilo RM 8.00 dan banyak lagi barang lain yang di naikkan oleh peniaga mengikut sesuka hati. - Gambar Oleh:Nadim Bokhari



KUALA LUMPUR: Harga ayam proses di beberapa bandar termasuk di ibu negara dijual melebihi harga siling sehingga ada yang mencecah RM8 sekilogram, sejak beberapa hari lalu.


Selain di ibu negara, kenaikan mendadak harga ayam itu juga dikesan di Putrajaya, Seremban, Alor Star, Shah Alam, Georgetown, Johor Bahru, Melaka, Kuching dan Kota Kinabalu.


Di Kuching, harga ayam dilaporkan mencecah RM8 sekilo, manakala di Putrajaya, Seremban dan Kota Kinabalu sebanyak RM7 sekilo, berbanding harga siling RM6 bagi ayam standard dan RM6.70 ayam super.

Tinjauan Berita Harian di sekitar ibu kota semalam pula mendapati ayam standard dijual RM6.90 sekilo.


Peningkatan mendadak harga ayam itu dikatakan mempunyai kaitan dengan pertambahan kos pada peringkat ladang, termasuk kenaikan harga bahan makanan ternakan berkenaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini menetapkan harga ayam standard RM6 sekilo (disembelih dan dibersihkan berserta kaki, kepala, hati dan hempedal), manakala ayam super (disembelih dan dibersihkan tanpa kepala, hati dan hempedal) pada RM6.70 sekilo.


Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad, ketika dihubungi berkata pihaknya akan berbincang dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menambah import ayam dari Thailand dan Indonesia bagi menstabilkan harganya.


Kita akan minta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menambah permit import (AP) bagi membantu menstabilkan harga ayam dan memastikan ia dijual pada harga kompetitif, katanya.


Mengikut Akta Kawalan Harga 1946, peniaga terbabit boleh didenda maksimum RM15,000 atau dua tahun penjara serta kompaun sehingga RM7,500.


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Kementerian Pertanian dan Perindustrian Asas Tani, Datuk Dr Abdul Aziz Jamaluddin, ketika dihubungi mengesahkan menerima maklumat mengenai peningkatan mendadak harga ayam termasuk di Sarawak.


Katanya, maklumat itu diterimanya, kelmarin, berdasarkan pemantauan yang dilakukan pegawai kementerian berkenaan.


Kita akan mengambil tindakan susulan bagi mengatasi masalah itu secepat mungkin, katanya.


Dr Abdul Aziz berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani serta KPDNHEP juga akan mengadakan pertemuan dalam masa terdekat bagi mencari jalan terbaik menangani kenaikan harga ayam


Soalan

1. Apakah yang dimaksudkan dengan harga siling?

2. Berikan satu sebab yang menyebabkan kenaikan harga ayam.

3. Apakah kesan serta merta terhadap penjual ayam di pasar berikutan kenaikan harga ayam?

4. Berapakah harga siling bagi ayam standard dan ayam super yang ditetapkan oleh kerajaan?

a. Apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menangani masalah kenaikan harga ayam?

b. Dengan menggunakan rajah yang menunjukkan keluk permintaan dan penawaran, terangkan bagaimana langkah tersebut dapat menurunkan harga ayam.

Disediakan oleh En Yeam

Unit Ekonomi

No comments: