Wednesday, August 19, 2009

Bajet Mini

03 Mac, 2009 22:35 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan seharusnya membelanjakan wang yang diperuntukkan dalam bajet mini yang akan diumumkan pada 10 Mac ini secepat mungkin dalam usaha merangsangkan permintaan domestik dan mengurangkan kesan penurunan eksport, demikian menurut Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS).

Bajet mini ini mempunyai beberapa langkah untuk meningkatkan penggunaan, membantu syarikat untuk terus bertahan dan menyediakan pekerjaan, selain daripada untuk projek-projek infrastruktur, kata ketua pengarah ISIS, Dr Mahani Zainal Abidin.

Mahani berkata jumlah bajet mini itu dijangka dalam lingkungan RM16 bilion hingga RM23 bilion atau dua hingga tiga peratus daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK).

"Saya rasa saiz bajet mini, bergantung banyak kepada situasi. Di Malaysia, saya tidak fikir situasi kita membenarkan perbelanjaan lima peratus daripada KDNK," kata beliau hari ini.

Mahani berkata adalah penting untuk menyedari yang pakej rangsangan itu bukanlah penyelesaian kepada krisis, dan faktor-faktor seperti penglibatan sektor swasta, keyakinan pengguna dan langkah-langkah lain dalam tempoh sederhana hingga panjang turut diperlukan.

Beliau menjangkakan yang langkah-langkah dalam bajet mini akan turut melibatkan langkah mengurangkan kos menjalankan perniagaan.

Langkah-langkah itu, kata beliau, kemungkinan lebih meluas memandangkan terdapatnya isu-isu besar yang perlu ditangani seperti pengangguran, penurunan eksport dan penggunaan yang rendah.

Menurut beliau, kerajaan patut memberi fokus kepada beberapa sektor tertentu yang berhadapan dengan penurunan besar seperti industri elektronik dan automotif.

Mengenai kelemahan ringgit, Mahani berkata penurunan ringgit adalah berperingkat dan tidak begitu drastik.

"Jika kita melihat kemerosotan ringgit, ia agak berperingkat, antara 3.50 dan 3.70 berbanding dolar AS," kata beliau.

Pada penutup hari ini, ringgit bergerak cergas berbanding dolar AS kepada 3.7075/7125 daripada 3.7260/7300 semalam.

Mahani berkata berdasarkan kepada trend di negara-negara lain, Malaysia berhadapan dengan tempoh yang lebih sukar tetapi negara masih lagi mempunyai kekuatannya sendiri dari segi kepelbagaian ekonomi dan ekonomi domestik yang lebih besar berbanding beberapa negara lain.

"Ia mencabar tetapi tidaklah seteruk seperti mana negara-negara lain yang mempunyai fokus yang sempit terhadap ekonomi," kata beliau.

-- BERNAMA

No comments: