Saturday, October 2, 2010

Ekonomi Bidangan Industri Kereta

Najib Mencadangkan Syarikat-syarikat Automotif Negara Mempertimbangkan Penggabungan

KUALA LUMPUR, 9 Julai (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar syarikat-syarikat automotif dalam negara mempertimbangkan penggabungan sekiranya berlaku terlebih kapasiti dalam industri itu bagi terus berdaya maju dan selari dengan peredaran semasa.

Katanya hanya syarikat yang berinovatif, yang sanggup melakukan perubahan dan mempunyai model perniagaan yang mampan sahaja akan benar-benar berjaya dalam abad ke-21 ini.

"Kalau sekiranya terlebih kapasiti merupakan satu daripada hambatan atau kekangan kepada syarikat-syarikat, apakah patut dilakukan proses untuk menggabungkan syarikat-syarikat automotif dalam negara kita supaya akan wujud syarikat yang lebih kuat, lebih besar dan lebih mampu lagi?," katanya semasa berucap sempena makan malam gala sambutan ulang tahun ke-25 Proton di sini malam Jumaat.

Selain itu, katanya faktor skala ekonomi turut menyumbang kepada kemampuan sesebuah syarikat untuk bersaing terutama sekali dalam bidang automotif.

Sehubungan itu, katanya Proton haruslah mampu untuk memenuhi kehendak pelanggan dan pasaran, bukan sahaja dari segi reka bentuk dan kualitinya, malah juga selera dan segala aspek yang perlu diambil kira.

Melalui proses penyusunan semula dalaman Lotus dan mewujudkan beberapa unit perniagaan strategik di dalam Proton yang menggabungkan kekuatan keseluruhannya, kemampuan syarikat pengeluar kereta nasional itu akan dapat ditingkatkan lagi.

"Jika proses penyusunan semula ini berlaku, ia akan dapat memaksimumkan segala kemahiran dan teknologi yang ada padanya dan meletakkan asas untuk mampu bersaing ke tahap yang lebih tinggi lagi," katanya.

Antara sumbangan terbesar Proton adalah kepada ekosistem automotif negara dalam memelihara kewujudan dan pembangunan para vendor.

Sehingga ini, sebanyak 153 syarikat vendor tempatan telah memperolehi manfaat sejajar dengan kemajuan yang dicatatkan oleh Proton, kata Najib.

Katanya Proton bukan sekadar sebuah perniagaan atau syarikat biasa tetapi sebaliknya sebuah usaha ikon negara untuk melakukan perubahan bukan sahaja dalam segi pembangunan teknologi tetapi sosio-masyarakat Malaysia amnya.

-- dipetik BERNAMA (diubah suai)

Soalan

1. Apakah yang dimaksudkan dengan ekonomi bidangan?
2. Bezakan antara ekonomi bidangan dalaman dan ekonomi bidangan luaran?
3. Daripada petikan atas, nyatakan ekonomi bidangan dalaman yang mungkin diperoleh oleh industri kereta kesan daripada penggabungan pengeluar kereta.
4. Nyatakan kesan luaran positif yang dinikmati oleh masyarakat apabila industry kereta berkembang.
5. Bagaimana pembangunan para vendor menyumbang kepada ekonomi bidangan luaran industri kereta.

No comments: