Wednesday, August 19, 2009

Pelaburan Bina Taman Tema Legoland Bukti Keyakinan Terhadap Iskandar Malaysia

13 Disember, 2008 21:23 PM

JOHOR BAHARU, 13 Dis (Bernama) -- Pelaburan sebanyak RM750 juta untuk membuka Taman Tema Legoland yang pertama di Asia di Iskandar Malaysia merupakan bukti jelas keyakinan pelabur-pelabur terhadap koridor yang dilancarkan pada 2006 itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, walaupun keadaan ekonomi dunia tidak menentu pada ketika ini, momentum pembangunan serta pelaburan di Iskandar Malaysia tidak terjejas.

Katanya, sehingga kini Iskandar Malaysia telah menerima RM40.25 bilion pelaburan dalam dan luar negara, yang merupakan 86 peratus daripada RM47 bilion pelaburan yang disasarkannya bagi fasa pertama sehingga 2010.

"Ia (RM750 juta) merupakan satu pelaburan yang besar. Ia merupakan suatu simbol dan bukti keyakinan pelabur-pelabur untuk terus melabur di dalam Iskandar Malaysia.

"Iskandar Malaysia telah menunjukkan kemajuan yang menyakinkan bahawa ia akan muncul sebagai sebuah kawasan pembangunan yang berkualiti tinggi dan berjaya," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian pembinaan Taman Tema Legoland di sini, Sabtu.

Perjanjian untuk membina taman tema seumpama yang pertama di Asia dan kelima di dunia itu ditandatangani di antara Pengarah Urusan Iskandar Investment Berhad (IIB) Arlida Ariff dan Pengarah Urusan Legoland Parks John Jakobsen.

Selain Malaysia, Taman Tema Legoland turut terdapat di Denmark, United Kingdom, Jerman dan California, Amerika Syarikat.

Merlin Entertainments akan mereka bentuk dan menguruskan taman tema tersebut serta muncul sebagai pemegang saham sebanyak 20 peratus, manakala pegangan ekuiti selebihnya dipegang oleh konsortium yang diketuai oleh IIB.

Taman Tema Legoland itu akan dibina di atas tanah seluas 145 hektar di Medini Iskandar, yang sebelum ini dikenali sebagai Node 1, dan dijangka akan mula dibuka kepada pengunjung pada 2013.

Menurut Perdana Menteri, kewujudan Taman Tema Legoland tunggal di Asia di Malaysia amat baik kerana ia bermakna negara tidak mempunyai pesaing dalam usaha menarik pelancong yang mahu melawat teman tema seumpama itu.

"Ini bermakna jikalau pelancong mahu melawat Taman Tema Legoland di Asia, mereka perlu ke Johor Baharu dan Malaysia. Ia amat baik kerana kita tidak akan bersaing dengan negara-negara Asia yang lain," katanya.


-- BERNAMA

No comments: